Thursday, January 3, 2008

Istikharah

CARA MELAKUKAN ISTIKHARAH :- http://www.ilmudanu lamak.blogspot. com/

Soalan; bagaimana cara yang betul untuk saya melakukan solat Istikharah? Apakah bentuk pertunjuk atau tanda yang akan saya perolehi selepas melakukan Istikharah?

Jawapan;
Bismillahirrahmanir rahim,
1. Solat Istikharah bermaksud solat untuk memohon kepada Allah agar ditunjukkan keputusan yang terbaik dalam urusan kita yang menimbulkan keraguan dan kesangsian. Solat ini disunatkan –sekalipun bagi urusan-urusan kecil atau remeh- berdasarkan hadis Jabir bin ‘Abdullah r.a. yang menceritakan;

“Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam segala urusan kami seperti beliau mengajar surah al-Quran. Baginda bersabda; ‘Apabila seseorang kamu hendak mengerjakan sesuatu, hendaklah ia bersolat dua rakaat yang bukan solat fardhu. Setelah selesai solat, hendaklah ia membaca doa;

اللَّهُمَّ إنِّي أسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ، وأسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأسألُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ، فإنَّكَ تَقْدِرُ ولا أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلا أعْلَمُ، وأنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ، اللَّهُمَّ إنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أنَّ هَذَا الأمْرَ خَيْرٌ لي فِي دِيني وَمَعاشِي وَعاقِبَةِ أمْرِي، وَعَاجلِ أمْرِي وآجِلِهِ، فاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لي، ثُم بارِكْ لي فِيهِ، وَإنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أنَّ هَذَا الأمْرَ شَرٌّ لي في دِينِي وَمعاشِي وَعاقِبَةِ أمْرِي، وَعاجِلِ أمْرِي وآجِلِهِ، فاصْرِفْهُ عَنِّي، وَاقْدُرْ لِيَ الخَيْرَ حَيْثُ كانَ ثُمَّ رَضِّنِي بِهِ

“Ya Allah! Aku memohon petunjuk dariMu tentang mana yang lebih baik untukku berdasarkan ilmuMu, dan aku memohon kekuatan dariMu untukku dengan kudratMu serta aku memohon kepadaMu kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau maha tahu sedang aku tidak mengetahui. Engkaulah Tuhan yang maha mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah! Jika Engkau mengetahui urusan ini baik untukku bagi agamaku, kehidupanku, bagi natijah urusanku serta bagi urusanku masa kini dan masa depan, maka takdirkanlah ia untukku dan mudahkanlah ia bagiku, kemudian berkatilah aku dalam melakukannya. Dan jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk untukku bagi agamaku, kehidupanku, bagi natijah urusanku serta bagi urusanku masa kini dan masa depan, maka palingkanlah ia dariku dan takdirkanlah untukku apa yang baik bagiku dalam apa rupa sekalipun, kemudian jadikanlah hatiku redha menerimanya”.

Hendaklah ia menyebutkan hajatnya (semasa berdoa itu).(Riwayat Imam al-Bukhari).

2. Sunat Istikharah hanyalah bagi urusan-urusan yang harus sahaja seperti perkahwinan, perniagaan, untuk keluar bermusafir dan sebagainya. Adapun urusan-urusan yang diwajibkan atau disunatkan Syarak, tidak perlu lagi istikharah kerana ia disuruh oleh Syarak. Setiap yang disuruh oleh syarak adalah jelas baik tanpa syak lagi. Begitu juga dengan urusan-urusan yang diharamkan oleh Syarak atau dimakruhkan, tidak perlu lagi diistikharahkan kerana ia dilarang oleh Syarak dan setiap yang dilarang oleh Syarak adalah buruk tanpa syak lagi.

3. Solat istikharah boleh dilakukan pada bila-bila masa yang dikehendaki asalkan bukan di dalam waktu-waktu yang dilarang solat sunat.

4. Menurut Imam Nawawi dalam kitabnya al-Azkar; disunatkan membaca dalam rakaat pertama –selepas al-Fatihah- surah al-Kafirun dan dalam rakaat kedua surah al-Ikhlas. Jika seseorang tidak dapat mengerjakan solat, bolehlah ia beristikharah dengan membaca doa sahaja. Semasa berdoa, sunat dimulakan dengan memuji Allah dan mengucapkan selawat serta salam kepada Nabi Muhammad dan begitu juga apabila selesai berdoa.

5. Adapun tanda-tanda atau petunjuk Allah selepas istikharah ialah apa yang dirasai oleh hati. Selepas menunaikan solat dan berdoa kepada Allah sebagaimana tadi, hendaklah orang yang beristikharah itu melakukan apa yang hatinya berasa tenang dan yakin untuk melakukannya. Jika perlu diulangi, ulangilah istikharah itu. Ada ulamak menggalakkan Istikharah diulangi hingga tujuh kali berdasarkan hadis riwayat Imam Ibnu Sunni dari Anas r.a.; Rasulullah s.a.w. bersabda; “Jika kamu ingin melakukan suatu urusan, beristikharahlah kepada Tuhanmu tujuh kali. Kemudian lihatlah apa yang mula sampai kepada hati kamu. Sesungguhnya kebaikan ada padanya”. Namun hadis ini menurut ulamak hadis adalah lemah.

6. Satu perkara yang perlu diingat; ketika melakukan istikharah, hati hendaklah pasrah kepada Allah. Jangan melakukan istikharah dalam keadaan hati cenderung pada mana-mana keputusan kerana itu tanda kita tidak ikhlas dalam beristikharah kepada Allah. Berkata Imam Nawawi; “Sesudah istikharah hendaklah seseorang itu memilih apa yang hatinya berasa tenang/lapang untuk melakukannya. Janganlah ia berpegang dengan ketenangan hatinya yang terbit dari kehendak hawa nafsunya sebelum istikharah. Bahkan orang yang melakukan istikharah hendaklah ia meninggalkan pilihan sendiri, kerana kalau demikian bukanlah beristikharah kepada Allah namanya, tetapi beristikharah kepada nafsu sendiri. Kadang-kadang orang yang beristikharah itu tidak jujur/tidak ikhlas dalam istikharahnya dan dia tidak pasrah kepada ilmu dan qudrat Allah. Jika ia benar-benar jujur/ikhlas dalam istikharahnya, sudah tentu ia akan membebaskan hatinya dari upaya dan kekuatannya serta dari pilihannya sendiri (sebaliknya menyerahkan segala-galanya kepada Allah)”. (Rujuk; Nailul-Autar, jil. 3, hlm. 74).
Wallahu a’lam.

Rujukan;
1. al-Azkar, Imam Nawawi, Kitab al-Azkar Wa ad-Da’awat…, Bab al-Istikharah.2. at-Tajul Jami’, Syeikh Mnasur ‘Ali Nasif, jil. 1, hlm. 333.3. Nailul-Autar, Imam as-Syaukani, jil. 3, hlm. 74.

Wednesday, January 2, 2008

Suatu kisah

Dalam sebuah forum yg diadakan di sebuah IPTS, seorang peserta mengemukan satu permintaan yang gempak kepada salah seorang panel yang bergelar ustaz.

" I want GOD to talk to me!!!"

Kalau dipintanya" I want to talk to God", jika saya berada di situ maka saya akan jawab " you talk lah..."

Tetapi permintaannya agak melampau, dia mahu Allah bertegur sapa dengannya...WOW. Saya kaku kerana tidak tahu bagaimana melayan soalan itu.

Namun demikian panel tersebut tidak gelabah memberi respon , sebalik menceritakan suatu kisah..

Di suatu zaman, ulama tersohor ketika itu ialah Syeikh Najib bersama-sama Sultannya dalam suatu majlis. Apabila syeikh itu berdoa, rakyat jelata khuysuk menuruti doanya dan mengaminkannya, berlainan dengan baginda sultan hanya melihat dan siap tertawa akan perilaku ulama dan rakyat jelatanya.

Apabila selesai berdoa, Syeikh Najib bertanya kepada Sultan tentang sikap baginda sebentar tadi. Lalu sultan itu mempersoalkan ketaksuban orang-orang yang berdoa yang belum tentu doa mereka diterima tuhan.

Bertambah riak, sultan itu mencabar akan ulama warak itu supaya meminta kepada Allah SWT meminta mematikan baginda dalam masa 5 minit.

Lalu dengan telus berdoalah Syeikh Najib. Setelah mengaminkannya, tuan Syeikh itu memula pengiraan dan detik demi detik berlalu.

So what happen next?

Seorang ulamak yang tinggi ilmu, banyak beramal, baik akhlaknya sudah tentu doanya dimakbulkan oleh Allah SWT........tapi tidak kali ini.Sultan itu tidak mati.

Maka sultan tersenyum dengan menyindir akan ulama itu," Kenapa beta tidak mangkat lagi?"Maka dijawablah ulama yang bijaksana itu, jika tuhan menerima kehendak itu, maka bukan sifat bagi tuhan untuk mematuhi apa yang dikehendaki oleh mahkluk Nya....

Maka jawapan kepada permintaan perserta tadi,

"It is not the God, if it fulfill the wish of man!!!