Thursday, January 1, 2009

Muhammad al-Fatih



Manakala mengenai Muhammad al-Fatih yang membuka dan membebaskan kota Istanbul, dalam bahasa Turki, Muhammad sering disebut dengan Fatih Sultan Mehmet. Beliau lahir pada 30 Mac 1432 dan wafat pada 3 Mei 1481.

Merujuk segi kesolehannya, Muhammad al-Fatih disebutkan tidak pernah meninggalkan tahajud dan solat rawatib sejak baligh hingga waktu wafatnya. Pendekatannya kepada Allah SWT diajarkan kepada tenteranya. Sehinggakan tenteranya tidak pernah meninggalkan solat fardu dan solat tahajud sejak baligh. Itulah barangkali kunci utama kejayaannya dan tenteranya dalam menaklukkan kota Istanbul sebagaimana dalam hadis di atas.

Prestasinya menakluki kota Istanbul, beliau kemudian mendapat gelaran 'Al-Fatih' yang bererti penakluk atau pembebasan. Barangkali juga jolokan gelaran itu diberikan kepadanya kerana para pelaku sejarah sebelumnya tidak pernah berhasil menakluk Istanbul walaupun ada hadis mengenai hal itu.

Manakala orang Barat menyebutnya The Conqueror (penakluk). Ada implikasinya bila menyebut penakluk, bahawa beliau seolah-olah pemimpin yang ganas dan kejam. Pada hal gelaran yang sebenarnya dalam bahasa Arab adalah 'Al-Fatih'.

Di samping itu, beliau merupakan seorang yang sangat pakar dalam peperangan dan pandai berkuda. Ada yang mengatakan bahawa sebahagian hidupnya dihabiskan di atas kudanya.

Lebih menarik, meskipun beliau mempunyai kedudukan tertinggi dalam struktur pemerintahan, namun kerana kepakarannya dalam ilmu strategi perang, hampir seluruh perjalanan jihadnya adalah di bawah pimpinannya. Bahkan beliau tetap berangkat berjihad walaupun sedang menderita penyakit.

Beliau juga ahli di bidang pentadbiran negara, baik secara fizikal atau birokrasi dan hukum. Kehebatan beliau dalam mentadbir negaranya menjadi negara yang sangat maju diakui oleh banyak ilmuan dunia. Bahkan secara serius beliau banyak melakukan pembaikan dalam hal perekonomian, pendidikan dan lain-lain.

Dari segi kepimpinan, Istanbul dalam waktu singkat sudah menjadi pusat pemerintahan yang sangat indah dan maju serta kota ekonomi yang berjaya.

Beliau juga pakar dalam bidang sains dan matematik serta menguasai enam bahasa sejak berumur 21 tahun. Seorang pemimpin yang hebat namun cukup bertawaduk dan merendahkan dirinya.

Maka tidaklah hairanlah tenteranya paling rajin bersolat fardu dan sunat.

Setelah menakluk kota Konstantinopel, namanya diubah kepada Islambul yang bererti Kota Islam, Kemudian nama itu telah diganti oleh Mustafa Kemal Ataturk menjadi Istanbul.

Sejak itu ibu kota khalifah Bani Usmaniyah beralih ke kota Istanbul dan menjadi pusat peradaban Islam dunia selama beberapa abad kemudian. Kerana kota itu dibangun dengan segala bentuk dan seni keindahannya, percampuran antara seni Eropah Timur dan Arab jelas ketara.

Gereja-gereja dan tempat ibadat bukan Muslim dibiarkan berdiri dan tidak diganggu. Sementara khalifah membangun gedung-gedung yang indah dan cantik yang dapat disaksikan hingga kini.

Kejayaannya itu menyebabkan banyak kawan dan lawan kagum dengan kepemimpinannya serta taktik strategi peperangan yang dikatakan mendahului zamannya.

Sebagai memperingati jasa Muhammad al-Fatih, Masjid al-Fatih telah dibangunkan di sebelah makamnya di Istanbul.

(Dipetik dari Utusan dalam artikel: Istanbul Kota Yang Dijanji Dalam Hadis)

No comments: